The Royal Cambridge Hotel






BERKUNJUNG ke United Kingdom (UK) terutama kota London menjadi idaman sesiapa jua kerana kota raya itu adalah destinasi pelancongan popular di dunia.

Namun, melancong ke UK terasa seperti insan kerdil kerana nilai mata wangnya yang tinggi berbanding Ringgit Malaysia.


Tidak hairan kebanyakan yang melancong ke UK membawa bekalan makanan sendiri sama ada sambal ikan bilis, serunding atau mi segera.

Malah, ada sanggup membawa periuk elektrik terutama bagi mereka yang tidak dapat hidup jika tidak makan nasi.

Selain makanan, ramai mencari penginapan di kalangan rakan, saudara-mara atau hotel bajet untuk mengelak membayar kos yang tinggi untuk bilik hotel.

Justeru, jika anda mencari hotel bajet yang sesuai ketika mengunjungi UK atau kota London ketika musim cuti sekolah itu, apa kata menginap di The Royal Cambridge Hotel.

Jangan terkejut, hotel ini yang diuruskan Suria Resorts Management Sdn Bhd adalah milik rakyat Malaysia yang turut mempunyai beberapa hotel dan resort di negara ini.

Kedudukannya yang strategik menyebabkan ia menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.

The Royal Cambridge Hotel London, England ialah dua kediaman berkembar di Sussex Garden, di pusat bandar Paddington. Ia dihias dengan konsep moden dan klasik menjadikannya kediaman selesa untuk semua golongan.

Ia hanya lima minit berjalan kaki dari Stesen Paddington selain menghubungkan beberapa pusat beli-belah dan tumpuan pelancong antaranya Oxford Street, Knightabridge, Istana Buckingham dan Trafalgar Square.

Anda juga boleh mengunjungi beberapa taman rekreasi di sekitar hotel ini, antaranya Hyde Park, Kensington Garden dan Piccadilly Circus Parks.

Taman rekreasi Hyde Park hanya lima atau 10 minit berjalan kaki. Di sini anda boleh berehat sambil melihat keindahan musim gugur atau memanaskan badan dengan berjoging.

Untuk membeli-belah, guna kereta api bawah tanah di Stesen Paddington ke Marble Arch atau Oxford Street.

Atau jika berminat untuk melihat patung lilin tokoh atau selebriti terkemuka dunia, kunjungi Madame Tussauds, hanya 10 mint menggunakan kereta api bawah tanah.

Masa makan di hotel ini adalah saat yang dinanti-nantikan. Anda boleh menikmati sarapan selera Inggeris atau memesan makanan Malaysia seperti nasi lemak, nasi goreng, roti canai atau teh tarik. Cuma, buat pesanan awal bagi memudahkan makanan itu disediakan.

Sebelah malam, selepas pulang menikmati keindahan kota London atau membeli-belah, cuba makanan di restoran warga Malaysia berhampiran hotel ini.

Antaranya Restoran Sukairama, Melur, Tok Din atau Kafe Bonda. Tempat itu hanya lima minit perjalanan dan menyediakan pelbagai hidangan menyelerakan termasuk nasi campur.

Restoran makanan halal milik warga Lebanon, Turki atau Morocco banyak terdapat di sekitar hotel itu.

Jika terlalu letih dan malas untuk makan di luar, anda boleh memesan piza, burger atau makanan China, India atau Lubnan untuk penghantaran ke bilik.

Jima mahu maklumat lanjut, hubungi Suria Resorts Management Sdn Bhd di talian 03-78064752, faksmili 03-78064753, e-mel: sales@suriaresorts.com atau laman web: www.suriaresorts.com.




INFO

Bagaimana ke sini:

# Jika anda dari Stesen Antarabangsa Waterloo, ambil 'Bakerloo line' ke Stesen Paddington.

# Jika menggunakan kereta, hotel ini menghubungkan jalan utama seperti Edgeware Road, Marylebone Road ke Hyde Park melalui Sussex Garden.

# Jika menggunakan pengangkutan udara, dari Lapangan Terbang Hearhrow, anda hanya perlu mengambil kereta api ekspres Heathrow ke Stesen Paddington yang mengambil masa 15 minit perjalanan.

# Dari Lapangan Terbang Gatwick, gunakan kereta api ekspres Gatwick ke Stesen Victoria. Kemudian ambil laluan Circle atau District ke Stesen Paddington.

# Dari Lapangan Terbang Luton, ambil Thameslink ke Stesen King's Cross St Pancrass. Kemudian ambil laluan Circle ke Stesen Paddington.

# Dari Lapangan Terbang Stansted, ambil perkhidmatan kereta api ekspres Stansted ke Liverpool, kemudian ambil laluan Circle ke Stesen Paddington.

Comments

Popular posts from this blog

Kedai Buku Di Kuala Terengganu